Apr 15, 2016

WARKAH BUAT TANGGUNGANKU.



Irama gemersik bernyanyi indah,
Dalam gemerlap cahaya purnama.
Sungguh ku kasih tiada bersudah,
Menjerit batin sayunya bergema.

Duhai isteri dengarlah sini,
Aku ingin engkau berjanji.
Melayan fitnah jangan sekali,
Tetapkan jiwa kuatkan hati.

Kita dikurnia seorang permata,
Turunnya dia dari kota syurga.
Didiklah dia menjadi hamba,
Yang patuh taat suruhan Yang Esa.

Wahai dewi dunia sementara,
Cuba imbas kenangan bercinta.
Tidak disangka kita kan bersua,
Pelbagai dugaan datang melanda.

Pernah sekali ku tukar arah,
Pergi mencari cinta yang salah.
Namun setelah semua berubah,
Engkau menanggung luka yang parah.

Ternyata cekal hati sang merak,
Tetap berjuang tak kenal sesak.
Gagahkan bertempik walau serak,
Cantumkan semula cinta yang retak.

Aku tahu perihal dirimu,
Jangan berniat untuk menipu.
Sudah naluri diberi padaku,
Aku faham apa hendak mu.

Selama mana kita bernyawa,
Pastikan kita memberi segala.
Tidak rugi berbuat saksama,
Kelak nanti beroleh pahala.

Banyakkan sedekah amal jariah,
Itulah harta yang tidak sudah.
Walau jasad dikambus tanah,
Saham akhirat masih bertambah.

Bermula hidup biarlah berakit,
Supaya sedar apa itu perit.
Senyumlah sayang walaupun sakit,
Dugaan diberi bukanlah sedikit.

Bersama kita harungi lautan,
Penuh ombak ribut dan taufan.
Sejauh mana kita mampu bertahan,
Itulah tanda kita punya kekuatan.

Jangan bersedih dengan perkara dunia,
Sungguh mereka pun juga hamba.
Apa nak ditakut dengan kapal samudera,
Jika berkemudi tanpa nakhoda.

Jadilah seorang isteri yang solehah,
Didiklah anak kita menjadi gagah.
Kita akan tetap punya Allah.
Hiduplah kita berlandaskan Quran dan Sunnah.


-salam sayang dari suamimu yang tak buleh nak tidoq-

Jam 1.56 a.m.
15 April 2016.

No comments: